Pagi ini saya ke Pasar Kajang untuk membeli ikan, di samping membeli sedikit kuih untuk sarapan pagi. Pekan Kajang, termasuk kawasan Pasar lengang kerana hari ini ialah hari cuti umum, cuti Tahun Baru Cina.
Ketika pulang, saya melalui jalan yang berhampiran dengan Perhentian Bas Kajang. Banyak teksi dan bas sedang menunggu penumpang. Orang yang hendak menaiki bas nampaknya begitu ramai.
Saya tertarik melihat pemandangan yang jarang-jarang saya lihat, tetapi tentunya bukan baru: banyaknya "orang asing", khasnya "Indon" yang sedang beratur untuk menaiki bas. Orang Bangla dll banyak juga, tetapi tidaklah seramai "Indon". Panjang barisan mereka saya kira hampir serantai, dan bas yang mereka naiki ialah bas yang akan pergi ke Kuala Lumpur.
Pada tahun 1980-an dan 1990-an orang dahulu sebenarnya sudah banyak juga orang "Indon" bekerja di Kajang dan kawasan sekitarnya, khasnya sebagai buruh binaan. Tapi sebahagian besar daripada mereka tidak berani keluar ke bandar, kerana mereka adalah pendatang tanpa izin. Kini mereka berani keluar ke bandar dan ke mana-mana, kerana mereka umumnya adalah orang-orang yang datang secara legal,.
Di Kuala Lumpur barangkali mereka akan "berhimpun" di tempat-tempat yang selama ini jadi tumpuan warga asing, seperti Chow Kit dan KLCC. Tempat tersebut memang sudah menjadi tumpuan warga asing pada hari-hari cuti umum sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kebanjiran warga asing di pusat kota Kuala Lumpur sejak beberapa tahun kebelakangan ini memang "tidak menyenangkan" setengah-setengah warga negara Malaysia. Mereka merasa tidak selesa, malah ada juga yang merasa takut apabila berada di tengah-tengah kerumunan warga asing yang begitu ramai.
Namun, agaknya sudah menjadi "hukum globalisasi" bahawa negara yang lebih maju seperti Malaysia akan menjadi tumpuan penduduk dari negara yang kurang maju seperti Indonesia, Bangladesh dll.yang datang untuk mencari pekerjaan. Sebagai negara membangun, dan ingin membangun dengan pesat, Malaysia pula memang memerlukan tenaga warga asing.
Oleh itu warga negara Malaysia agaknya tidaklah mempunyai pilihan selain daripada menerima kedatangan warga asing itu, dan hidup dikelilingi oleh orang asing yang semakin lama semakin ramai.
Warga negara Malaysia agaknya mungkin boleh mengurangkan kedatangan pekerja asing itu, sekiranya mereka mahu melakukan kebanyakan kerja yang selama ini dianggap berat dan tidak berprestij, tetapi tetap menjadi buruan pekerja asing, seperti menjadi buruh binaan dan buruh ladang.
Namun, selagi warga negara Malaysia masih boleh memilih pekerjaan yang lain, yang lebih ringan dan lebih berprestij, warga asing tentu akan terus mengisi begitu banyak peluang pekerjaan yang dihindari oleh warga Malaysia itu .
Dengan itu, kedatangan warga asing terpaksa terus diterima, walaupun sekarang di-perkirakan jumlah mereka sudah mencapai 2.6 juta, kerana kedatangan dan sumbangan mereka memang diperlukan oleh negara ini. Dan dalam hal ini orang "Indon" lah yang paling ramai, sejak tahun 1980-an lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Memang disesetengah tempat, orang asing sudah membanjiri kawasan tersebut...
Post a Comment