Thursday, July 17, 2008

PAS wajar terus bersama Pakatan Rakyat

Adalah suatu perkembangan yang menarik apabila Presiden PAS , Haji Haji Awang mengeluarkan kenyataan bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Haji Awang mengeluarkan kenyataan itu setelah beberapa hari sebelum itu beliau membayangkan "ada masalah" dalam hubungan antara PAS dengan PKR dan DAP, dan beliau membayangkan kemungkinan akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Apakah yang telah berlaku, yang mendorong Haji Hadi mengeluarkan kenyataan yang baru itu? Barangkali hanya Haji Hadi dan pemimpin-pemimpin PAS yang tahu.

Bagaimanapun, saya kira baik juga Haji Hadi mengeluarkan kenyataan yang baru itu dan menegaskan PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Walaupun PKR dan DAP bukan parti Islam, tetapi PAS masih boleh bekerjasama dengan kedua-dua parti itu untuk mewujudkan pemerintahan yang adil. telus dan bersih.

Perbezaan ideologi antara mereka saya kira tidak perlu dibesar-besarkan, kerana dalam sebuah masyarakat plural seperti Malaysia, parti apapun terpaksa mengambil pendekatan yang lebih pragmatik dan realistik jika ingin terus mendapat sokongan rakyat, dan tidak boleh berpegang secara rigid kepada ideologi masing-masing.

Jika hubungan antara PAS dengan PKR dan DAP ada masalah, kita patut memahami hubungan itu masih baru, dan tentu memerlukan sedikit masa supaya satu persesuaian dan keseimbangan dapat dicapai.

Memang UMNO parti Melayu seperti PAS dan majoriti ahlinya juga beragama Islam seperti PAS, tetapi parti itu hanya mahu bekerjasama dengan PAS ketika ia lemah dan menghadapi masalah.

Ketika UMNO merasa kuat, ia tidak akan mempedulikan PAS, malah telah menendang keluar PAS daripada BN seperti yang telah dilakukannya pada masa yang lalu.

Lagi pun, setelah lama memerintah, UMNO telah terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan kronisme yang teruk. UMNO seolah-olah seperti orang sakit yang sukar untuk dipulihkan.

Oleh itu, kini bukanlah masanya dan mungkin tidak ada keperluannya PAS mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Sekurang-kurangnya buat masa ini, dan lebih baik untuk masa seterusnya, PAS sepatutnya mengukuhkan lagi hubungannya dengan PKR dan DAP.

Apabila perhubungan itu telah kukuh, kemungkinannya adalah lebih besar ideologi PAS akan lebih difahami dan diterima oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Monday, July 14, 2008

Sekatan jalan raya yang tidak perlu?

Saya tidak ke Kuala Lumpur pada 14 Julai 2008 dan tidak terperangkap dalam kesesakan teruk akibat pihak polis mengadakan sekatan jalan raya yang menuju ke Bangunan Parlimen.

Akan tetapi, dari laporan akhbar yang saya baca pada hari ini, saya mendapat gambaran kesesakan itu begitu teruk dan luar biasa, sehingga mendatangkan kesusahan yang luar biasa pula kepada orang ramai.

Tentu sekali kesesakan jalan raya itu menimbulkan kemarahan kepada orang ramai.

Masalahnya adakah sekatan jalan raya itu perlu?

Mengikut menteri yang berkenaan, sekatan jalan raya itu perlu diadakan untuk menghalang demonstrasi yang kononnya akan diadakan oleh pihak parti pembangkang.

Akan tetapi, sehari dua sebelum itu saya tidak terbaca apa-apa laporan dalam laman web pembangkang atau akhbar web pembangkang yang berwibawa (seperti Harakahdaily. net) yang menyatakan pihak pembangkang akan mengadakan demonstrasi.

Jadi dari manakah menteri berkenaan mendapat maklumat tentang demonstrasi yang kononnya bakal dianjurkan oleh parti pembangkang itu? Katanya hanya dari beberapa SMS, dari satu dua blog, dan dari ceramah di sebuah sekolah di Kuala Lumpur sebelum itu

Jika itu sumber maklumat beliau, jelaslah sumber maklumat itu bukan sumber yang berwibawa dan boleh dipercayai kesahihannya.

Tanpa sumber maklumat yang berwibawa dan boleh dipercayai, jelaslah sekatan jalan raya itu sebenarnya tidak perlu diadakan, menyusahkan orang ramai, dan kesan buruknya mungkin lebih banyak daripada kesan baik yang diharapkan.

Wajarlah menteri berkenaan meminta maaf kepada orang ramai sebagaimana yang telah dilakukannya!