Wednesday, January 30, 2008

Semangat Lubok Kawah

Beberapa hari yang lalu, saya menemui blog Sdr. Suhaimi Said, Semangat Lubok Kawah secara kebetulan.

Mungkin ramai pembaca yang tidak tahu bahawa Lubok Kawah ialah nama sebuah kampung dalam mukim Sanggang, daerah Temerloh, terletak di tepi Sungai Pahang, dan kira-kira 10 km ke utara bandar Temerloh.

Kini Lubok Kawah adalah sebuah kampung kecil yang tidak ramai penduduknya dan tidak mempunyai ketua kampung sendiri. Kampung ini termasuk dalam rumpunan lima buah kampung kecil yang terletak di bawah pentadbiran Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK Paya Jejawi.

Jika kita berkunjung ke kampung itu pada masa ini, tidak ada apa-apa kesan atau peninggalan sejarah yang boleh kita temui, selain daripada sebuah mesjid kecil yang sudah tua. Tidak jauh dari mesjid itu, di tepi Sungai Pahang yang berhadapan dengannya, dikatakan pernah terdiri Markas API Temerloh pada tahun 1946-1948 dahulu. Akan tetapi, bekas tapak Markas API itu pun kini sudah menjadi kawasan belukar.

Tidak jauh dari kampung itu, hampir dengan simpang jalan Temerloh-Jerantut, dikatakan pernah wujud Kem Se Malaya, iaitu kem latihan ketenteraan yang diwujudkan oleh PKM untuk kader Melayu pada tahun 1948 dahulu. Akan tetapi, tapak kem Se Malaya itu pun kini sudah menjadi sebahagian kawasan kilang papan.

Bagaimanapun, pada zaman perjuangan kemerdekaan antara tahun 1946 hingga 1948 dahulu, Kampung Lubok Kawah telah tercatat dalam sejarah sebagai salah sebuah kampung dalam daerah Temerloh yang majoriti penduduknya telah melibatkan diri secara aktif dengan gerakan kiri (PKMM, API, AWAS, BATAS dan kemudiannya PETA).

Setelah undang-undang darurat diisytiharkan dan parti-parti kiri diharamkan pada bulan Jun 1948, sebahagian besar daripada penduduk Lubok Kawah tidak meninggalkan medan perjuangan. Malah mereka telah memasuki Rejimen Ke-10, pasukan tentera Melayu PKM, untuk meneruskan perjuangan secara bersenjata.

Mereka pada umumnya mendapat ilham dan dorongan untuk berjuang menentang penjajah dari perjuangan Datuk Bahaman menentang campur tangan Inggeris dalam politik dan pentadbiran Pahang pada tahun 1891-1895. Oleh itu, bergerila menentang tentera penjajah bagi mereka bukan saja tidak salah, malah mereka persepsikan sebagai menyambung perjuangan Datuk Bahaman yang tidak kesampaian.

Pada tahun 1953, satu kumpulan anggota Rejimen Ke-10 dari Lubok Kawah telah ikut berpindah ke Selatan Thailand dan meneruskan perang gerila dari sana pula. Mereka hanya meletakkan senjata pada tahun 1989 dengan termeterainya Perjanjian Perdamaian antara PKM dengan kerajaan Malaysia, setelah berjuang hampir 40 tahun.

Penduduk Lubok Kawah jelas mempunyai semangat perjuangan antikolonial yang tinggi. Mereka mahu tanah air mereka bebas daripada cengkaman penjajah dan mahu bangsa mereka menjadi bangsa yang merdeka, bermaruah dan bermertabat.

Semangat perjuangan penduduk Lubok Kawah itu patut diteruskan dalam konteks semasa, kerana jelas perjuangan kita untuk mewujudkan bangsa yang merdeka, bermaruah dan bermertabat sebenarnya masih belum tercapai.

Kita kini hanya merdeka dari dari penjajahan asing, tetapi masih terkongkong dengan pelbagai undang-undang dan akta yang zalim, dan berada bawah rejim "bangsa sendiri" yang melakukan salah guna kuasa, tekanan dan kezaliman. Kita masih perlu melakukan reformasi, dan di sini Semangat Lubok Kawah boleh dijadikan ilham, panduan dan dorongan.

1 comment:

Cheguman said...

Bagus semangat awak ni. Semangat perjuangan awak ni mengingatkan koi pada semangat Indonesia, Pakistan dan Iraq. Koi bangga dan gembira menengokkan kemeriahan rakyat negara2 tersebut sekarang. Mereka terpaksa berkorban untuk ayah dan abang mereka yg mengambil jalan pintas ke syurga.