Thursday, July 17, 2008

PAS wajar terus bersama Pakatan Rakyat

Adalah suatu perkembangan yang menarik apabila Presiden PAS , Haji Haji Awang mengeluarkan kenyataan bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Haji Awang mengeluarkan kenyataan itu setelah beberapa hari sebelum itu beliau membayangkan "ada masalah" dalam hubungan antara PAS dengan PKR dan DAP, dan beliau membayangkan kemungkinan akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Apakah yang telah berlaku, yang mendorong Haji Hadi mengeluarkan kenyataan yang baru itu? Barangkali hanya Haji Hadi dan pemimpin-pemimpin PAS yang tahu.

Bagaimanapun, saya kira baik juga Haji Hadi mengeluarkan kenyataan yang baru itu dan menegaskan PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Walaupun PKR dan DAP bukan parti Islam, tetapi PAS masih boleh bekerjasama dengan kedua-dua parti itu untuk mewujudkan pemerintahan yang adil. telus dan bersih.

Perbezaan ideologi antara mereka saya kira tidak perlu dibesar-besarkan, kerana dalam sebuah masyarakat plural seperti Malaysia, parti apapun terpaksa mengambil pendekatan yang lebih pragmatik dan realistik jika ingin terus mendapat sokongan rakyat, dan tidak boleh berpegang secara rigid kepada ideologi masing-masing.

Jika hubungan antara PAS dengan PKR dan DAP ada masalah, kita patut memahami hubungan itu masih baru, dan tentu memerlukan sedikit masa supaya satu persesuaian dan keseimbangan dapat dicapai.

Memang UMNO parti Melayu seperti PAS dan majoriti ahlinya juga beragama Islam seperti PAS, tetapi parti itu hanya mahu bekerjasama dengan PAS ketika ia lemah dan menghadapi masalah.

Ketika UMNO merasa kuat, ia tidak akan mempedulikan PAS, malah telah menendang keluar PAS daripada BN seperti yang telah dilakukannya pada masa yang lalu.

Lagi pun, setelah lama memerintah, UMNO telah terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan kronisme yang teruk. UMNO seolah-olah seperti orang sakit yang sukar untuk dipulihkan.

Oleh itu, kini bukanlah masanya dan mungkin tidak ada keperluannya PAS mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Sekurang-kurangnya buat masa ini, dan lebih baik untuk masa seterusnya, PAS sepatutnya mengukuhkan lagi hubungannya dengan PKR dan DAP.

Apabila perhubungan itu telah kukuh, kemungkinannya adalah lebih besar ideologi PAS akan lebih difahami dan diterima oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Monday, July 14, 2008

Sekatan jalan raya yang tidak perlu?

Saya tidak ke Kuala Lumpur pada 14 Julai 2008 dan tidak terperangkap dalam kesesakan teruk akibat pihak polis mengadakan sekatan jalan raya yang menuju ke Bangunan Parlimen.

Akan tetapi, dari laporan akhbar yang saya baca pada hari ini, saya mendapat gambaran kesesakan itu begitu teruk dan luar biasa, sehingga mendatangkan kesusahan yang luar biasa pula kepada orang ramai.

Tentu sekali kesesakan jalan raya itu menimbulkan kemarahan kepada orang ramai.

Masalahnya adakah sekatan jalan raya itu perlu?

Mengikut menteri yang berkenaan, sekatan jalan raya itu perlu diadakan untuk menghalang demonstrasi yang kononnya akan diadakan oleh pihak parti pembangkang.

Akan tetapi, sehari dua sebelum itu saya tidak terbaca apa-apa laporan dalam laman web pembangkang atau akhbar web pembangkang yang berwibawa (seperti Harakahdaily. net) yang menyatakan pihak pembangkang akan mengadakan demonstrasi.

Jadi dari manakah menteri berkenaan mendapat maklumat tentang demonstrasi yang kononnya bakal dianjurkan oleh parti pembangkang itu? Katanya hanya dari beberapa SMS, dari satu dua blog, dan dari ceramah di sebuah sekolah di Kuala Lumpur sebelum itu

Jika itu sumber maklumat beliau, jelaslah sumber maklumat itu bukan sumber yang berwibawa dan boleh dipercayai kesahihannya.

Tanpa sumber maklumat yang berwibawa dan boleh dipercayai, jelaslah sekatan jalan raya itu sebenarnya tidak perlu diadakan, menyusahkan orang ramai, dan kesan buruknya mungkin lebih banyak daripada kesan baik yang diharapkan.

Wajarlah menteri berkenaan meminta maaf kepada orang ramai sebagaimana yang telah dilakukannya!

Saturday, May 10, 2008

Pelancaran buku SIRD di Temerloh

Dua hari yang lalu saya berjumpa dengan En.Chong Ton Sin, tuan punya syarikat penerbitan SIRD dari Petaling Jaya.

Beliau memberitahu bahawa beliau bercadang akan mengadakan majlis pelancaran buku dan jualan buku di Temerloh pada bulan Jun 2008.

Antara buku yang akan dilancarkan ialah buku Abu Samah Mohd.Kassim, Pejuang Kiri Kemerdekaan Zuriat Datuk Bahaman karya Dr.Mohamed Salleh Lamry yang diterbitkan oleh SIRD kira-kira 3 bulan yang lalu.

Khabarnya seorang peguam dari Temerloh yang sering membeli buku-buku penerbitan SIRD berminat untuk membantu menjayakan majlis pelancaran buku itu.

Saturday, May 3, 2008

Suara Keadilan hanya untuk ahli PKR?

Sejak Suara Keadilan diterbitkan tanpa perminat kira-kira 3 tahun yang lalu, saya kira kebanyakan pembacanya tidak menghadapi masalah besar untuk mendapatkan akhbar tersebut. Jadi demikian juga agaknya setelah KDN mengeluarkan permit, walaupun disyaratkan akhbar itu untuk ahli PKR sahaja. Saya kira orang yang bukan ahli PKR masih boleh membeli dan membacanya, walaupun mungkin ada halangan atau sekatan di tempat-tempat tertentu.

Akan tetapi, yang agak menghairankan adalah mengapa KDN mengeluarkan syarat bahawa akhbar itu untuk ahli PKR sahaja? Adakah kerajaan takut orang UMNO atau rakyat ramai membeli dan membacanya dan terpengaruh dengan idea yang terkandung dalam akhbar tersebut?

Saya kira ada juga kemungkinan orang-orang yang berminat membeli akhbar tersebut akan menjadi ahli PKR terlebih dahulu. Jika hal itu berlaku, tidakkah syarat yang dikemukakan oleh KDN itu akan menggalakkan orang ramai menjadi ahli PKR dan menguatkan parti PKR?

Walau bagaimanapun, jika KDN boleh berfikir secara rasional, saya rasa syarat yang dikenakan olehnya bahawa Suara Keadilan adalah untuk ahli PKR sahaja adalah syarat yang tidak perlu. Apa salahnya rakyat diberi kebebasan sama ada mahu membeli akhbar itu atau tidak?

Saya rasa rakyat atau para pembaca di negara ini bukan bodoh. Jadi tidak perlulah mereka diperbodohkan dengan syarat yang tidak masuk akal seperti itu.

Sunday, April 27, 2008

Mengapa BALKIS perlu dibubarkan?

Orang yang mengharapkan politik itu tidak terlampau kotor mungkin agak hairan mengapa BALKIS dibubarkan secara terburu-buru dan wangnya pula diserahkan kepada BAKTI.

Jika selepas BN kalah, jawatan MB diambilalih oleh Khalid daripada Khir Toyo, jawatan Pengerusi BALKIS sepatutnya diambilalih oleh isteri Khalid pula . Alangkah cantiknya jika peralihan kuasa seperti itu berlaku.

Akan tetapi, Khir Toyo dan isterinya agaknya mahu bermain politik selepas BN kalah dan Khir tidak lagi menjadi MB Selangor. Maka nampaklah bagaimna kotornya permainan Khir Toyo dan isterinya. Dan ini agaknya akan menjauhkan lagi orang Melayu Selangor yang tidak bersetuju dengan permainan politik kotor seperti ini daripada UMNO.

Wednesday, February 6, 2008

Banyaknya 'Indon"

Pagi ini saya ke Pasar Kajang untuk membeli ikan, di samping membeli sedikit kuih untuk sarapan pagi. Pekan Kajang, termasuk kawasan Pasar lengang kerana hari ini ialah hari cuti umum, cuti Tahun Baru Cina.

Ketika pulang, saya melalui jalan yang berhampiran dengan Perhentian Bas Kajang. Banyak teksi dan bas sedang menunggu penumpang. Orang yang hendak menaiki bas nampaknya begitu ramai.

Saya tertarik melihat pemandangan yang jarang-jarang saya lihat, tetapi tentunya bukan baru: banyaknya "orang asing", khasnya "Indon" yang sedang beratur untuk menaiki bas. Orang Bangla dll banyak juga, tetapi tidaklah seramai "Indon". Panjang barisan mereka saya kira hampir serantai, dan bas yang mereka naiki ialah bas yang akan pergi ke Kuala Lumpur.

Pada tahun 1980-an dan 1990-an orang dahulu sebenarnya sudah banyak juga orang "Indon" bekerja di Kajang dan kawasan sekitarnya, khasnya sebagai buruh binaan. Tapi sebahagian besar daripada mereka tidak berani keluar ke bandar, kerana mereka adalah pendatang tanpa izin. Kini mereka berani keluar ke bandar dan ke mana-mana, kerana mereka umumnya adalah orang-orang yang datang secara legal,.

Di Kuala Lumpur barangkali mereka akan "berhimpun" di tempat-tempat yang selama ini jadi tumpuan warga asing, seperti Chow Kit dan KLCC. Tempat tersebut memang sudah menjadi tumpuan warga asing pada hari-hari cuti umum sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kebanjiran warga asing di pusat kota Kuala Lumpur sejak beberapa tahun kebelakangan ini memang "tidak menyenangkan" setengah-setengah warga negara Malaysia. Mereka merasa tidak selesa, malah ada juga yang merasa takut apabila berada di tengah-tengah kerumunan warga asing yang begitu ramai.

Namun, agaknya sudah menjadi "hukum globalisasi" bahawa negara yang lebih maju seperti Malaysia akan menjadi tumpuan penduduk dari negara yang kurang maju seperti Indonesia, Bangladesh dll.yang datang untuk mencari pekerjaan. Sebagai negara membangun, dan ingin membangun dengan pesat, Malaysia pula memang memerlukan tenaga warga asing.

Oleh itu warga negara Malaysia agaknya tidaklah mempunyai pilihan selain daripada menerima kedatangan warga asing itu, dan hidup dikelilingi oleh orang asing yang semakin lama semakin ramai.

Warga negara Malaysia agaknya mungkin boleh mengurangkan kedatangan pekerja asing itu, sekiranya mereka mahu melakukan kebanyakan kerja yang selama ini dianggap berat dan tidak berprestij, tetapi tetap menjadi buruan pekerja asing, seperti menjadi buruh binaan dan buruh ladang.

Namun, selagi warga negara Malaysia masih boleh memilih pekerjaan yang lain, yang lebih ringan dan lebih berprestij, warga asing tentu akan terus mengisi begitu banyak peluang pekerjaan yang dihindari oleh warga Malaysia itu .

Dengan itu, kedatangan warga asing terpaksa terus diterima, walaupun sekarang di-perkirakan jumlah mereka sudah mencapai 2.6 juta, kerana kedatangan dan sumbangan mereka memang diperlukan oleh negara ini. Dan dalam hal ini orang "Indon" lah yang paling ramai, sejak tahun 1980-an lagi.

Wednesday, January 30, 2008

Semangat Lubok Kawah

Beberapa hari yang lalu, saya menemui blog Sdr. Suhaimi Said, Semangat Lubok Kawah secara kebetulan.

Mungkin ramai pembaca yang tidak tahu bahawa Lubok Kawah ialah nama sebuah kampung dalam mukim Sanggang, daerah Temerloh, terletak di tepi Sungai Pahang, dan kira-kira 10 km ke utara bandar Temerloh.

Kini Lubok Kawah adalah sebuah kampung kecil yang tidak ramai penduduknya dan tidak mempunyai ketua kampung sendiri. Kampung ini termasuk dalam rumpunan lima buah kampung kecil yang terletak di bawah pentadbiran Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK Paya Jejawi.

Jika kita berkunjung ke kampung itu pada masa ini, tidak ada apa-apa kesan atau peninggalan sejarah yang boleh kita temui, selain daripada sebuah mesjid kecil yang sudah tua. Tidak jauh dari mesjid itu, di tepi Sungai Pahang yang berhadapan dengannya, dikatakan pernah terdiri Markas API Temerloh pada tahun 1946-1948 dahulu. Akan tetapi, bekas tapak Markas API itu pun kini sudah menjadi kawasan belukar.

Tidak jauh dari kampung itu, hampir dengan simpang jalan Temerloh-Jerantut, dikatakan pernah wujud Kem Se Malaya, iaitu kem latihan ketenteraan yang diwujudkan oleh PKM untuk kader Melayu pada tahun 1948 dahulu. Akan tetapi, tapak kem Se Malaya itu pun kini sudah menjadi sebahagian kawasan kilang papan.

Bagaimanapun, pada zaman perjuangan kemerdekaan antara tahun 1946 hingga 1948 dahulu, Kampung Lubok Kawah telah tercatat dalam sejarah sebagai salah sebuah kampung dalam daerah Temerloh yang majoriti penduduknya telah melibatkan diri secara aktif dengan gerakan kiri (PKMM, API, AWAS, BATAS dan kemudiannya PETA).

Setelah undang-undang darurat diisytiharkan dan parti-parti kiri diharamkan pada bulan Jun 1948, sebahagian besar daripada penduduk Lubok Kawah tidak meninggalkan medan perjuangan. Malah mereka telah memasuki Rejimen Ke-10, pasukan tentera Melayu PKM, untuk meneruskan perjuangan secara bersenjata.

Mereka pada umumnya mendapat ilham dan dorongan untuk berjuang menentang penjajah dari perjuangan Datuk Bahaman menentang campur tangan Inggeris dalam politik dan pentadbiran Pahang pada tahun 1891-1895. Oleh itu, bergerila menentang tentera penjajah bagi mereka bukan saja tidak salah, malah mereka persepsikan sebagai menyambung perjuangan Datuk Bahaman yang tidak kesampaian.

Pada tahun 1953, satu kumpulan anggota Rejimen Ke-10 dari Lubok Kawah telah ikut berpindah ke Selatan Thailand dan meneruskan perang gerila dari sana pula. Mereka hanya meletakkan senjata pada tahun 1989 dengan termeterainya Perjanjian Perdamaian antara PKM dengan kerajaan Malaysia, setelah berjuang hampir 40 tahun.

Penduduk Lubok Kawah jelas mempunyai semangat perjuangan antikolonial yang tinggi. Mereka mahu tanah air mereka bebas daripada cengkaman penjajah dan mahu bangsa mereka menjadi bangsa yang merdeka, bermaruah dan bermertabat.

Semangat perjuangan penduduk Lubok Kawah itu patut diteruskan dalam konteks semasa, kerana jelas perjuangan kita untuk mewujudkan bangsa yang merdeka, bermaruah dan bermertabat sebenarnya masih belum tercapai.

Kita kini hanya merdeka dari dari penjajahan asing, tetapi masih terkongkong dengan pelbagai undang-undang dan akta yang zalim, dan berada bawah rejim "bangsa sendiri" yang melakukan salah guna kuasa, tekanan dan kezaliman. Kita masih perlu melakukan reformasi, dan di sini Semangat Lubok Kawah boleh dijadikan ilham, panduan dan dorongan.