Thursday, July 17, 2008

PAS wajar terus bersama Pakatan Rakyat

Adalah suatu perkembangan yang menarik apabila Presiden PAS , Haji Haji Awang mengeluarkan kenyataan bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Haji Awang mengeluarkan kenyataan itu setelah beberapa hari sebelum itu beliau membayangkan "ada masalah" dalam hubungan antara PAS dengan PKR dan DAP, dan beliau membayangkan kemungkinan akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Apakah yang telah berlaku, yang mendorong Haji Hadi mengeluarkan kenyataan yang baru itu? Barangkali hanya Haji Hadi dan pemimpin-pemimpin PAS yang tahu.

Bagaimanapun, saya kira baik juga Haji Hadi mengeluarkan kenyataan yang baru itu dan menegaskan PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Walaupun PKR dan DAP bukan parti Islam, tetapi PAS masih boleh bekerjasama dengan kedua-dua parti itu untuk mewujudkan pemerintahan yang adil. telus dan bersih.

Perbezaan ideologi antara mereka saya kira tidak perlu dibesar-besarkan, kerana dalam sebuah masyarakat plural seperti Malaysia, parti apapun terpaksa mengambil pendekatan yang lebih pragmatik dan realistik jika ingin terus mendapat sokongan rakyat, dan tidak boleh berpegang secara rigid kepada ideologi masing-masing.

Jika hubungan antara PAS dengan PKR dan DAP ada masalah, kita patut memahami hubungan itu masih baru, dan tentu memerlukan sedikit masa supaya satu persesuaian dan keseimbangan dapat dicapai.

Memang UMNO parti Melayu seperti PAS dan majoriti ahlinya juga beragama Islam seperti PAS, tetapi parti itu hanya mahu bekerjasama dengan PAS ketika ia lemah dan menghadapi masalah.

Ketika UMNO merasa kuat, ia tidak akan mempedulikan PAS, malah telah menendang keluar PAS daripada BN seperti yang telah dilakukannya pada masa yang lalu.

Lagi pun, setelah lama memerintah, UMNO telah terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan kronisme yang teruk. UMNO seolah-olah seperti orang sakit yang sukar untuk dipulihkan.

Oleh itu, kini bukanlah masanya dan mungkin tidak ada keperluannya PAS mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Sekurang-kurangnya buat masa ini, dan lebih baik untuk masa seterusnya, PAS sepatutnya mengukuhkan lagi hubungannya dengan PKR dan DAP.

Apabila perhubungan itu telah kukuh, kemungkinannya adalah lebih besar ideologi PAS akan lebih difahami dan diterima oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

1 comment:

Cheguman said...

Saya tidak fikir PAS sedang kuat sekarang. Begitu juga UMNO. Kedua-duanya sedang dalam kesukaran. PAS berada di tempat tercorot dalam PR manakala UMNO masih memimpin BN, tetapi mengalami masalah krisis keyakinan dan kesetiaan.

Tidakkah anda ingin melihat dua bersaudara kembali bersatu?

Mungkin anda ada dalil yg menunjukkan persaudaraan itu tidak penting. Mungkin anda mempunyai hujah bahawa perpecahan itu diharuskan demi sebuah perjuangan. Kalau begitu, perjuangan itu untuk apa?

Adakah ukhwah Islamiah itu tidak sepenting menegakkan pendapat dan pandangan masing-masing?

Atau anda percaya bahawa lebih penting untuk mengungkit dan membalas dendam berbanding membuang yang keruh dan mengambil yang jernih?

Wallahu'alam.